Rusuhan di Kanowit, lelaki didakwa cubaan bunuh

SIBU— Seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian rusuhan di pekan Machan, Kanowit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki dengan melanggar mangsa menggunakan pikap.

Bagaimanapun, tertuduh, Jonwin Umpi,57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Jonwin didakwa cuba membunuh Brandon Lee,25 dengan melanggar mangsa menggunakan pikap kira-kira 4.30 petang, 7 Ogos lalu di pekan Machan, Kanowit.

Tertuduh turut didakwa terlibat dalam rusuhan di hadapan Pejabat Daerah Kanowit pada 13 September.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto dan David Bakit Nuing.

 Mahkamah kemudiannya membenarkan Jonwin diikat jamin lanjut RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 hingga 9 Mei serta 14 dan 15 Mei 2024 untuk perbicaraan.
Next Post Previous Post