Lelaki patah kaki, dua kenderaan rosak dirempuh Ford Ranger

Tangkap layar video media sosial

MIRI— Sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang hilang kawalan merempuh seorang pejalan kaki dan dua kenderaan, Ford Raptor dan BMW yang diletakkan di hadapan sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan laporan yang diterima pada jam 11 pagi, 10 Disember, pejalan kaki itu patah kaki sebelah kiri.

“Hasil siasatan mendapati Ford Ranger semasa tiba di hadapan hotel berkenaan telah melanggar dan bergesel dengan sebuah Ford Raptor yang diletakkan di kawasan tersebut.

“Akibat daripada pelanggaran itu, Ford Ranger hilang kawalan dan terbabas sebelah kiri dan melanggar seorang pejalan kaki dan sebuah BMW ditempat yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, kemalangangan itu menyebabkan Ford Ranger mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan bahagian sebelah kanan kenderaan manakala pemandu lelaki berusia 57 tahun tidak mengalami kecederaan.

Manakala, Ford Raptor rosak pada bahagian sebelah kiri manakala BMW rosak pada bahagian belakang.

“Berdasarkan laporan polis tersebut, pemandu kenderaan jenis Ford Ranger telah ditahan untuk siasatan lanjut. 

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dan disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Alexson.
Next Post Previous Post