Kereta import tak dapat, duit RM17,000 hangus

MIRI— Hajat seorang ahli perniagaan untuk memandu kereta import hancur berkecai selepas menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian RM17,000.

Wanita berusia 40-an itu telah membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah dan Komersial (BSJKD) Miri pada 18 Disember. 

Kejadian bermula selepas mangsa ternampak iklan kereta import terpakai ketika melayari laman sosial.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu telah menghubungi penjual kereta import terpakai tersebut untuk urusan jual beli.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat beberapa transaksi pindaan wang secara atas talian kepada suspek untuk urusan deposit bagi mendapatkan kenderaan yang telah dipilih oleh mangsa.

“Mangsa telah membuat empat kali transaksi ke akaun bank pihak ketiga yang diberikan suspek sehingga berjumlah RM17,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, mangsa hanya sedar telah tertipu selepas kenderaan yang dijanjikan masih juga tidak diterima sehingga laporan polis dibuat.

Sehubungan itu katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pembelian atas talian terutama dari laman sosial yang menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran.
Next Post Previous Post