Henti bermain politik, fokus pemulihan ekonomi - Fadillah

PUTRAJAYA— Rakyat tanpa mengira kaum, agama, merentasi fahaman politik dan pegangan ideologi harus meletakkan iltizam ke arah mengukuhkan perpaduan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perpaduan adalah kunci utama kepada keharmonian kaum, kesejahteraan rakyat dan negara serta kemakmuran negara.

Beliau yang merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata demikian dalam ucapan Tahun Baharu 2024 kepada rakyat Malaysia menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

“Sesungguhnya asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan pelbagai lapisan masyarakatnya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. 

“Ini penting supaya tidak ada lagi yang bermain politik, sebaliknya semua fokus ke arah pemulihan ekonomi, membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat apa lagi dalam kita mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Fadillah menzahirkan penghargaan dan kesyukuran atas sokongan semua rakyat Malaysia menjadikan 2023 keadaan politik yang lebih stabil dan urus tadbir pentadbiran lebih lancar di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini berbanding keadaan sebelumnya selepas bergelut ketidaktentuan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan negara dipimpin tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang empat tahun. 

“Semua ini adalah berkat kerjasama dan sokongan semua. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.
Next Post Previous Post