Empat lelaki terlibat kes samun bersenjata ditangkap

KUCHING-- Empat lelaki tempatan dicekup polis pada Jumaat kerana disyaki terlibat kes samun sebuah kedai 24 jam di Jalan Chan Bee Kiew kuching pada 3 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, keempat-empat suspek berusia 23 hingga 49 tahun ditangkap pada jam 2.30 pagi Jumaat di lot parkir awam di Jalan Tun Jugah.

"Kesemua suspek yang ditangkap disyaki terlibat kes samun bersenjata (senjata tajam) yang berlaku di kawasan pentadbiran IPD Kuching. 

"Pemeriksaan dalam kereta jenis Perodua Alza dinaiki suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu telah menjumpai pedang samurai, parang, kayu hoki, kuku kambing, topeng muka, topi dan sarung tangan dipercayai digunakan melakukan samun. 

"Hasil soal siasat awal, kesemua suspek mengaku terlibat kes samun kedai 24 jam di Jalan Chan Bee Kiew, Kuching pada 3 Disember 2023 jam 6.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Merbin, siasatan lanjut terhadap suspek turut mengaku terlibat dua lagi kes samun kedai runcit di kawasan Padungan pada 23 Oktober 2023 dan 8 November 2023. 

"Kesemua suspek ditahan reman dibawah Sekseyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama 7 hari bermula 15 sehingga 22 Disember 2023. 

"Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan juga kesalahan penyalahgunaan dadah. 

"Ujian awal air kencing kesemua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine," ujarnya.

Menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jika suspek-suspek ada penglibatan kes lain di IPD
Kuching atau lain-lain IPD. 

"Kertas siasatan bagi ketiga-tiga kes ini telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

"Pihak polis turut menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran," tambahnya lagi.
Next Post Previous Post