Tiga anak beranak sesat 8 jam semasa mencari buah durian di kebun Bukit Bangunan ditemui selamat

SRI AMAN: Tiga anak-beranak yang tersesat selama 8 jam semasa mencari buah durian di kawasan kebun buah-buahan di kawasan Bukit Begunan pagi tadi ditemui dalam keadaan selamat pada jam 5.20 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya berkata, kesemua mangsa yang dikenali sebagai Abraham Victor Rosen berusia 59 tahun, isteri beliau Unu Mamba dan anak perempuan mereka Hanna Estra Abraham Victor, 25, dijumpai pasukan SAR pada jarak 1.4 kilometer dari lokasi jentera bomba ditempatkan.

Pada masa sekarang katanya, pasukan SAR sedang dalam perjalanan ke lokasi kesemua mangsa bagi membawa keluar kesemua mangsa dari kawasan hutan terbabit.

"Turut difahamkan bahawa jarak lokasi kesemua mangsa ditemui mengambil masa satu jam perjalanan pergi dan balik dengan berjalan kaki meredah bukit dan hutan.

Terdahulu ujarnya, Bilik Kawalan BBP Sri Aman melaporkan kepada PGO Sarawak menerima panggilan daripada salah seorang mangsa iaitu anak mereka Hanna mengatakan beliau dan kedua ibu bapanya tersesat di dalam hutan sebelum PKO BBP Sri Aman respons ke lokasi kejadian.

Maklumat awal yang diperoleh katanya sekitar jam 10 pagi, mangsa bersama ibu dan bapanya mangsa masuk ke kawasan hutan bagi mencari durian di kebun keluarga mereka.

"Semasa dalam perjalanan pulang, ketiga-tiga mangsa mendapati mereka telah tersesat dan tidak menemui jalan keluar," jelasnya.

Mujurlah katanya anak mangsa berjaya menghubungi bilik kawalan BBP Sri Aman dan memaklumkan mengenai kejadian.

Operasi pencarian kemudiannya dijalankan oleh pasukan bomba berpandukan "live location" yang dihantar mangsa melalui aplikasi WhatsApp kepada komander operasi.

Bilik kawalan kemudiannya dengan segera menghubungi semula mangsa bagi memastikan beliau dan kedua-dua ibu bapanya berada dalam keadaan selamat.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post