SPRM Tahan 10 Individu Termasuk Anggota Penguat Kuasa Terima Rasuah Kira-Kira RM1.28 Juta Untuk Ubah Butiran Kenderaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 33 hingga 66 tahun itu dipercayai ditahan antara jam 11 pagi hingga 3 petang tadi turut didalangi oleh empat ejen dan seorang pemilik syarikat yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

Sumber berkata, terdapat dua Modus Operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.

“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima orang anggota penguat kuasa yang terlibat terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita. 

“Manakala ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022,” katanya.

Menurut sumber lagi, pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan sebanyak 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan ataupun pembetulan terhadap maklumat kenderaan mereka.

Katanya, ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan. 

Sumber menambah, susulan daripada maklumat diterima, SPRM telah menjalankan satu operasi khas hari ini dan menahan kesemua suspek di beberapa negeri iaitu Perak (2), Selangor (3), Johor (4) dan Sabah (1) selain tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan selepas ini. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru, dan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pada jam 9 pagi esok. 
Next Post Previous Post