Buru Gelaran Juara SUKMA 2024, Sarawak peruntuk RM69.35 juta kepada MSNS

KUCHING-- Sebanyak RM69.35 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dalam impian Sarawak memburu gelaran juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu merupakan peruntukan yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2024.

"Menyasarkan untuk menjadi Johan SUKMA 2024 ke-21 sekali lagi, sejumlah RM69.35 juta diperuntukkan kepada MSNS untuk melengkapkan atlet kita dengan peralatan sukan terbaik berserta ketahanan fizikal dan mental dengan mendedahkan mereka," katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Bagi aspek operasi seperti membangunkan bakat sukan, aktiviti pembangunan sukan dan mengendalikan infrastruktur sukan, Abang Johari berkata, sejumlah RM50 juta akan diperuntukkan pada 2024 kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

"Dengan visi kami untuk menjadi Pusat Kuasa Sukan Negara dan komitmen untuk membangun dan mengurus sukan secara profesional dalam melahirkan atlet bertaraf dunia, Kerajaan melalui SSC secara konsisten memajukan landskap sukan kita dari peringkat akar umbi melalui kerjasama dengan sekolah dan agensi sukan lain," jelasnya.

Pada masa sama beliau memberitahu kerajaan juga akan memperuntukkan RM75 juta untuk pembangunan baharu dan baik pulih kemudahan sukan sedia ada dalam belanjawan tersebut.

Katanya, antara projek sukan yang telah diluluskan ialah Pusat Prestasi Tinggi, menaik taraf padang bola sepak Stadium Sarawak dan membaik pulih kemudahan sukan sedia ada bagi memenuhi piawaian antarabangsa daripada badan seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Olahraga Dunia.

Tambahnya, Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) dan Padang Kriket dan Ragbi Petra Jaya dan Pusat Wushu dijangka siap tahun depan. 

"Penyiapan ketiga-tiga projek ini akan mewujudkan lebih banyak peluang dan membolehkan negeri membida dan menganjurkan acara antarabangsa utama seperti Sukan Antarabangsa Borneo (BIG), Sukan SEA, Sukan Komanwel dan kejohanan lain di kemudahan yang baaru siap," ujarnya.

Acara sukan dwitahunan itu akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak. 

Untuk rekod negeri ini menganjurkan acara itu pada 1990 dan 2016, di mana Sarawak menggondol gelaran juara dan tempat kedua.
Next Post Previous Post