Sarawak mampu capai pendapatan 12.718 bilion tahun ini-Abang Johari

Premier Sarawak semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2024. Gambar ihsan UKAS

KUCHING-- Pendapatan Sarawak tahun ini diunjurkan sebanyak RM12.718 bilion, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata ini berdasarkan prestasi pendapatan Sarawak setakat ini yang dilihat mampu mencapai unjuran pendapatan berjumlah RM12.718 bilion tahun ini.

"Berdasarkan prestasi hasil kita setakat ini, kutipan hasil untuk tahun ini diunjurkan sebanyak RM12.718 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM808 juta atau 7 peratus berbanding hasil kutipan sebanyak RM11.91 bilion pada 2022.

"Ini akan menjadi kutipan hasil Sarawak yang memecahkan rekod dan tertinggi dalam sejarahnya," katanya ketika membentangkan anggaran Belanjawan Negeri 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan berkata setakat Oktober tahun ini Sarawak telah memperolehi pendapatan RM11.630 bilion, melepasi unjuran RM11.035 bilion.

Beliau menjelaskan, kutipan hasil sebenar sebanyak RM11.63 bilion itu adalah merupakan daripada sumber utama. 

Katanya, antaranya ialah cukai jualan negeri (SST) sebanyak RM4.231 bilion terdiri daripada SST daripada keluaran petroleum sebanyak RM3.424 bilion, minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit sebanyak RM630 juta, aluminium sebanyak RM103 juta, loteri sebanyak RM62 juta, hasil kayu sebanyak RM8 juta dan Arang batu bernilai RM4 juta.

Manakala yang lain jelasnya adalah daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.862 bilion, dividen sebanyak RM2.096 bilion, faedah dan pulangan daripada pelaburan sebanyak RM748 juta, royalti air mentah sebanyak RM496 juta, premium tanah sebanyak RM213 juta, perhutanan sebanyak RM263 juta, pampasan tunai sebagai ganti import dan duti eksais ke atas produk petroleum sebanyak RM120 juta, pemberian dan pembayaran balik Persekutuan sebanyak RM270 juta dan sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah sebanyak RM331 juta. 

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengunjurkan pendapatan Sarawak pada 2024 diunjurkan sebanyak RM12.749 bilion. 

Tegasnya, ini merupakan hasil tertinggi pernah diunjurkan, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negeri. 

“Dengan unjuran hasil RM12.749 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.363 bilion, Belanjawan Negeri 2024 dijangka menjana lebihan sebanyak RM386 juta," ujarnya.
Next Post Previous Post