Pusat operasi judi online: Berselindung di kediaman mewah, 26 warga asing ditangkap

Mancha menunjukkan sebahagian rampasan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

KUCHING-- Seramai 26 warga asing termasuk tiga wanita diberkas dalam tiga serbuan berasingan Op Dadu melibatkan pusat operasi judi dalam talian (calling centre) yang berselindung di kediaman mewah kondominium di daerah Padawan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, suspek-suspek tersebut terdiri daripada 23 lelaki dan tiga wanita kesemua warga asing berusia 18 sehingga 33 tahun. 

"Kesemua individu yang ditangkap merupakan operator pengendalian perjudian online dengan bayaran gaji sebanyak RM1,200 sehingga RM1,600 sebulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata serbuan pertama yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak pada 7 November 2023 di sebuah kondominium di Lorong Dogan 3. 

Katanya, dalam serbuan tersebut seramai sembilan suspek berjaya ditangkap dan polis turut berjaya merampas empat unit set komputer, dua unit modem wifi, lima unit telefon pintar, seunit laptop dan seunit soket 
elektrik.

"Manakala serbuan kedua dan ketiga telah dijalankan pada 8 November 2023 di sebuah kondominium di Jalan Sunny Hill Garden, berjaya menangkap seramai 17 orang dan turut dirampas perbagai peralatan iaitu empat unit set komputer, lima unit komputer riba, dua unit modem wifi dan dua unit soket elektrik," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati bahawa pusat perjudian tersebut telah beroperasi mengikut syif dalam tempoh 24 jam dalam 1 tahun 3 bulan yang lalu berdasarkan rekod dan transaksi yang telah berjaya disemak dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM240,000 sebulan.

Berikutan tangkapan itu, tegas Mancha, polis kini sedang mengesan pemilik sebenar premis tersebut.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah 
Judi Terbuka 1953 yang mana membawa hukuman denda tidak 
kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta 
hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 3 tahun.

"Selain itu, hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas," ujarnya.

Kesemua tangkapan katanya direman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan kegiatan perjudian haram berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di kontinjen sarawak. 

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian bolehlah menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline Whatsapp Op Dadu di talian 013-5253052," katanya.
Next Post Previous Post