Penilaian sekolah rendah di Sarawak tumpu empat mata pelajaran – Sagah

KUCHING: Modul penilaian untuk murid-murid sekolah rendah di negeri ini akan memberi tumpuan terhadap penilaian mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pihaknya bersedia menerima sebarang input daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung cadangan penggubalan sistem penilaian.

“Mereka belajar selama enam tahun tetapi kita tidak akan tahu perkembangan sebenarnya, jadi kita mesti mempunyai satu sistem penilaian yang mungkin tidak akan merangkumi semua subjek seperti dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Sekurang-kurangnya, kita ada penilaian untuk subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan sudah tentu Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kerjasama Industri-Akademik (IAC) TalentCorp di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak berkepentingan lain juga boleh mengemukakan cadangan atau pendapat bagi memastikan keberkesanan modul penilaian prestasi itu kelak.

“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga menyatakan bahawa beliau sanggup memberi input dalam kita hendak menggubal sistem penilaian ini, bahkan ahli politik di Sabah juga memberi pandangan yang sama, namun ia bukan bermaksud kita hendak memberi tekanan atau mendesak, tetapi untuk kebaikan rakyat.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta badan-badan perguruan selain pakar dalam pendidikan, kita memerlukan pandangan mereka untuk mewujudkan sistem penilaian ini,” katanya. – TVS

Laporan asal berita ini boleh dibaca di laman web TV Sarawak
Next Post Previous Post