Dua wanita cedera parah, kereta dinaiki terbabas

SIBU—Dua wanita cedera parah selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan kendiri di kawasan Jambatan Sungai Mulong di Jalan Salim-Stabau tengah hari tadi.

Jurucakap Pasukan Alpha BBP Sibu Sentral, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa sejurus menerima makluman berhubung insiden pada jam 12.13 tengah hari.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke bahu jalan yang mana terdapat dua mangsa masih berada dalam kereta Toyota Innova," jelasnya.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa mendapati seorang berada dalam keadaan separa kritikal dan seorang lagi mangsa berada dalam keadaan sedar dan mengalami patah tangan kanan.

Komander operasi kemudiannya melakukan "size up" dan mengarahkan anggotanya melakukan kerja-kerja menyelamat kerana mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

"Pasukan EMRS BBP Sibu memasang cervical collar kepada mangsa sebelum memindahkan kedua-duanya ke scoop stretcher, " ujarnya. 

Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan dari KKM bagi diberikan rawatan lanjut.

Gambar BBP Sibu Sentral
Next Post Previous Post