DAP kecam SUPP guna lambang parti salur bantuan

KUCHING— DAP Sarawak mengecam tindakan SUPP menggunakan logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada medal dan mencetak nama parti pada perabot untuk kegunaan sekolah.

Kecaman itu dilontarkan Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, selepas melihat medal dicetak logo GPS sebagai balasan sekolah di atas peruntukan yang diberikan beliau.

Beliau berkata, perbuatan SUPP ini bukan perkara baharu malah berlaku di sekolah-sekolah lain di seluruh Sarawak.

“Banyak perabot sekolah ‘dijenamakan’ dengan cetakan perkataan 'Donated by SUPP xxxxx.'

“DAP berpandangan penggunaan logo atau nama parti di sekolah tidak wajar kerana ia seolah-olah menyemai budaya sogokan di kalangan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa Wilfred dan wakil rakyat SUPP yang lain agar tidak membawa elemen politik ke dalam sekolah.

“Mereka patut utamakan usaha membangunkan pendidikan bukannya mempopularkan jenama parti.

“Patuhilah nasihat Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim yang melarang penggunaan lambang parti dalam bantuan-bantuan atau peruntukan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Next Post Previous Post