Caj tambah nilai kupon parkir digital membebankan

Gambar tangkap layar caj tambah nilai parkir digital BorneoPark Kuching

KUCHING—Perlaksanaan ‘convenience fee’ sebanyak 3 peratus untuk pembelian kupon parkir digital melalui aplikasi BorneoPark Kuching disifatkan tidak berpatutan dan membebankan.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, setiap pengguna yang membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian dikenakan caj antara RM1.20 hingga RM15 bagi tambah nilai antara RM10 hingga RM500.

“Ini membebankan pengguna memandangkan mereka turut membayar cukai perkhidmatan sebanyak 6 % yang dikenakan untuk setiap transaksi.

“Saya menggesa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), sebagai pemegang saham Kuching City Parking System Sdn Bhd mempertimbang untuk menghapuskan caj tambahan,” dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setakat 25 November ini pembelian parkir kupon bulanan di Kuching hanya dapat dilakukan menerusi aplikasi telefon BorneoPark Kuching.

Beliau mencadangkan MBKS dan DBKU menyediakan perkhidmatan kaunter untuk memberi pilihan kepada pengguna membeli parkir kupon selain memudahkan warga emas yang mungkin tidak mempunyai telefon bimbit pintar.

Katanya, kerajaan harus mempertimbang pemberian insentif melalui caj berkadar rendah atau cashbacks untuk menggalakkan orang awam menggunakan pembayaran dalam talian.

Beliau turut menerima aduan pengguna yang tidak bersetuju dengan polisi aplikasi yang tidak membenarkan pengeluaran baki akaun parkir kupon yang tidak digunakan.

“Tiada mekanisme disediakan untuk pengguna mengeluarkan wang tesebut sekiranya mereka tidak lagi melanggan parkir kupon itu, berbeza dengan penggunaan pembayaran debit terus,”katanya.
Next Post Previous Post