Airasia hentikan penerbangan terus Miri - Singapura dan Sibu - Singapura berkuatkuasa 21 Februari 2024
KUCHING— Penerbangan terus AirAsia antara Singapura - Miri, Singapura-Sibu akan digantung berkuatkuasa 21 Februari 2024.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, syarikat penerbangan Airasia Berhad memaklumkan penggantungan itu menerusi e-mel pada 7 November lalu
“Syarikat penerbangan itu menyatakan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kekurangan penumpang, kerugian besar dan sebahagian inisiatif merasionalkan operasi penerbangan kerana kekurangan pesawat global.
“AirAsia turut memaklumkan semua penumpang yang terjejas akan dihubungi pada akhir minggu ini. Mereka juga akan dimaklumkan tindakan seterusnya untuk penerbangan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Lee menambah, AirAsia memberi jaminan semua penumpang yang terjejas akan dialihkan ke penerbangan lain untuk memastikan mereka masih sampai ke destinasi masing-masing.
Sementara itu Lee berkata, MOTS sudah mengemukakan rayuan kepada AirAsia Berhad untuk mengekalkan aluan penerbangan terus dari Singapura-Miri dan Singapura-Sibu.
Katanya, kementeriannya sudah menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Riad Asmat berhubung perkara itu pada pada 8 November lepas namun setakat ini belum menerima maklum balas.
"Kita sudah menulis surat kepada pihak AirAsia bagiu mempertimbangkan semula dan terus mengekalkan kedua-dua laluan itu, mungkin dengan mengurangkan kekerapan penerbangan.
“Sebaik sahaja muatan itu stabil dan ditambah baik pada masa hadapan, AirAsia mungkin meningkatkan kekerapan penerbangan untuk kedua-dua laluan itu,” katanya.
Ketika ini, AirAsia beroperasi empat kali dari Singapura ke Miri dan tiga kali ke Sibu setiap minggu, dengan kapasiti purata masing-masing 69 peratus dan 67 peratus.