Pulau Pinang minat jalin kerjasama dengan Sarawak

KUCHING-- Kejayaan Sarawak dalam bidang teknologi IT dengan membawa pulang 20 anak Sarawak yang pakar dalam reka bentuk cip semikonduktor 'membuka mata' Pulau Pinang untuk menjalinkan kerjasama dengan negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata semasa kerajaan Pulau Pinang diketuai Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak, berminat menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dalam bidang digital, tenaga diperbaharui dan industri.

"Ketua Menteri Pulau Pinang datang ke sini kerana kerajaan Pulau Pinang mahu bekerjasama kerana mereka ada pelaburan Intel dan kita (Sarawak) ada kawasan luas yang mungkin mereka boleh memperluaskannya di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke Swinburne di Melbourne, Australia pada tahun depan dalam menerokai bidang aeroangkasa.

Jelasnya, bidang itu merupakan bidang baharu yang ditawarkan di Australia yang boleh diterokai.

"Mungkin kampus (Swinburne) Sarawak boleh bekerjasama dengan Melbourne untuk menawarkan bidang yang berkaitan dengan aeroangkasa ini," katanya.

Selain itu, katanya, Swinburne juga menawarkan bidang IT hingga ke peringkat PHD.

"Kita memang berkehendakan anak Sarawak yang mempunyai kemahiran dalam kepakaran reka bentuk cip.

"Sudah tentu kita mesti mempunyai beberapa kepakaran yang berhubung kait dengan AI dan IT.

"Dan Swinburne sekarang ini menawarkan kursus sampai PHD untuk pakar reka bentuk cip dan ini akan membantu kita untuk mengeluarkan graduan yang pakar dalam industri rekaan dan reka bentuk cip sekali gus dapat menampung untuk kita mengeluarkan pakar," tambahnya.

Mengenai pakar reka bentuk cip, Abang Johari memberitahu rekaan cip perlu malar segar bersesuaian dengan perkembangan industri.

"Selalunya reka bentuk peranti kita selalu bertukar dan maka kajian hendak dibuat untuk mewujudkan satu reka bentuk yang bertepatan dengan peranti yang baru
 
"Sebab itu, kita perlukan lebih ramai pakar dalam bidang ini.

"Sekarang kita sudah ada 20 orang dan kita masih berkehendakan 30 lagi pakar reka bentuk cip di sini," katanya.

Tambahnya, kerajaan Sarawak sedang berusaha memujuk anak Sarawak yang mahir dalam bidang itu yang kini berada di Taiwan dan Singapura pulang ke negeri ini. 

"Kita sedang pujuk 30 lagi anak Sarawak berpangkalan di Singapura dan Taiwan," ujarnya.

Semakan dalam talian, gaji setahun pakar cip (microchip design engineer) sekitar USD106,452 setahun bersamaan RM503,996.99 setahun.
Next Post Previous Post