Penyerahan Bintulu Port beri sumber pendapatan kepada Sarawak- Abang Johari

BINTULU-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg gembira Kerajaan MADANI meluluskan penyerahan semula Bintulu Port Authority kepada Sarawak.

Beliau memberitahu, dengan penyerahan semula Bintulu Port itu akan menyumbangkan tambahan sumber pendapatan kepada negeri ini.

"Terima kasih kepada Kerajaan MADANI di ataa penyerahan semula Bintulu Port kepada Sarawak," katanya pada sidang media selepas Konvensyen PBB Utara di Dewan Suarah, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Abang Johari, perundingan masih dalam proses kerana melibatkan aset.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan RM5.8 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

"Jangan hanya tengok jumlah RM5.8 bilion sahaja kerana peruntukan daripada kementerian lain untuk Sarawak juga ada.

"Jadi kita amat berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan," katanya sambil mengatakan beliau berpuas hati terhadap Belanjawan 2024.

Mengenai pembangunan di Utara, Abang Johari berkata, kawasan Limbang, Berkenu, Baram dan Ba'kelalan mempunyai tanah yang subur untuk penanaman padi.

"Sekarang kita ada benih padi baharu yang boleh ditanam tiga kali setahun yang dihasilkan menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia.

"Sebab itu, saya telah meminta peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membangunkan infrastruktur saliran," jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu kerajaan Sarawak juga giat menumpukan usaha membangunkan kemudahan asas di kawasan Utara.

"Kita mahu kawasan Utara ini mempunyai jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi melonjakkan ekonomi masyarakat.

"Sebab itu kita mengadakan konvensyen ini bagi memberitahu kepada pemimpin akar umbi tentang projek pembangunan yang kita laksanakan di Utara ini," ujarnya.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post