Penggerudian darat minyak dan gas di blok SK433 Miri bermula

MIRI— Petroleum Sarawak Berhad (Petros) hari ini memulakan penggerudian darat minyak dan gas di Telaga Adong Kecil Barat, blok SK433 Miri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggerudian ini melibatkan kawasan seluas kira-kira 3,100 kilometer persegi di pesisir pantai antara Limbang dan Lawas. 

Beliau berkata, penggerudian ini merealisasikan Kontrak Petroleum Dalam Pesisir sulung yang telah dianugerahkan kepada Petros pada Julai 2021 di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

“Gas asli yang dihasilkan dari telaga ini akan dibekalkan ke Hab Miri, sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) untuk memenuhi keperluan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 400 megawatt yang sedang dalam pembinaan di Lutong dan dijangka beroperasi pada 2027.”

Abang Johari berkata demikian semasa melancarkan penggerudian pertama tersebut di Grand Old Lady, telaga penemuan minyak pertama di Malaysia pada 1910, di Canada Hill hari ini.

Beliau berkata, operasi dijalankan bersama dengan sebuah lagi syarikat Sarawak, Petra Energy Bhd.

Beliau menambah, penggerudian tersebut akan diteruskan di kawasan berhampiran Limbang dan Lawas di Blok SK334 yang mana ia akan bermula pada tahun 2025.

“Aktiviti cari gali minyak dan gas di darat dihidupkan semula selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Langkah ini menunjukkan komitmen Sarawak untuk merancakkan semula penerokaan minyak dan gas di darat selepas dihentikan beberapa dekad,” katanya.

Untuk rekod, pada Julai 2021, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pemberian kontrak bersyarat oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kepada Petra Energy Berhad sebagai pengendali Blok SK433. 

Kira-kira 75 peratus daripada kepakaran tenaga kerja yang sedang bekerja di tapak pengerudian merupakan anak Sarawak. 

Keperluan tenaga ini akan meningkat sejurus telaga minyak ini beroperasi sepenuhnya. 
 
Setakat ini, tiga penemuan medan gas dan minyak dibuat di daratan Sarawak, iaitu Miri, Asam Paya dan Adong Kecil West-1.
Next Post Previous Post