Pengambilalihan MASwings hasrat Abang Johari sediakan penerbangan berpatutan untuk rakyat Sarawak: Fadillah

BINTULU-- Sudah menjadi hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan yang berpatutan untuk rakyat Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, hal ini kerana ramai anak Sarawak melanjutkan pelajaran dan bekerja di luar negeri dan terkesan dengan harga tiket penerbangan yang ada ketika ini.

Menurutnya, sebab itu kerajaan Sarawak merancang untuk mengambil alih syarikat penerbangan MASwings. 

"Ia semenangnya hasrat Premier Sarawak untuk menyediakan perkhidmatan udara yang lebih berpatutan kepada rakyat Sarawak.

"Perkara ini masih dalam perundingan dan sedang dimuktamadkan kerana banyak perkara perlu diperincikan.

"Ini maknanya perhubungan darat giat dalam pembinaan dan sasarannya kita ada perhubungan udara juga.

"Rakyat kita banyak bekerja di luar, bila kita ada syarikat penerbangan sendiri kita dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan dalam kadar munasabah bagi memudahkan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Persatuan Melanau Bintulu (PMB) di sebuah hotel di sini malam tadi.

Jelas Fadillah lagi, perkhidmatan penerbangan oleh kerajaan Sarawak itu nanti berkemungkinan akan mempunyai subsidi khasnya untuk rakyat Sarawak.

"Ini adalah hasrat Premier (Abang Johari) kita untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan penerbangan berpatutan kepada rakyat kita di Sarawak dan ini bermaknanya ia ada subsisi," katanya.
Next Post Previous Post