Pendapatan, Rizab Sarawak meningkat bukti negeri dipimpin dengan baik: Fadillah

BINTULU-- Pendapatan dan rizab Sarawak meningkat bukti negeri ini ditadbir urus dengan baik di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan yang baik di bawah Premier Sarawak membolehkan rizab negeri mencecah RM33 bilion dengan perbelanjaan RM11 bilion kini rizab meningkat RM40 bilion.

"Seperti mana yang saya katakan di bawah kepimpinan Abang Johari kita dapat melihat dari segi pendapatan negeri Sarawak semakin meningkat dan rizab juga semakin meningkat.

"Sebab itu, projek-projek banyak dilaksanakan oleh kerajaan negeri sendiri meskipun kerajaan persekutuan membuat projek Pan Borneo, Sabah-Sarawak Link Road, Sarawak dengan sendiri membuat jalan pesisir, jambatan-jambatan

"Ini bermakna komitmen GPS untuk memastikan perhubungan infra kita bertambah baik, sistem perhubungan untuk rakyat dapat kita pertingkatkan dan bertambah baik

"Bila kerajaan kita lebih baik, ekonomi kita berkembang dan apabila ekonomi berkembang rakyat kita bertambah sejahtera sebab itu sasaran kita untuk menjadikan Sarawak ini maju dan makmur dapat dicapai," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Persatuan Melanau Bintulu (PMB) di sebuah hotel di sini malam tadi.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggesa rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak memberi sokongan kepada calon GPS Iskandar Turkee bagi memastikan perancangan pembangunan yang sedang giat dijalankan di kawasan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Tambahnya lagi, segala usaha itu akan dapat dicapai sekiranya rakyat kekal bersatu dan memberi sokongan padu kepada kerajaan Sarawak yang ada sekarang ini.

"Berilah sokongan kepada kerajaan Sarawak termasuk di Jepak ini dengan memberi peluang calon kita yang telah dipilih menyambung khidmat Allahyarham Datuk Talib Zulpilip," ujarnya.
Next Post Previous Post