Pasukan siasatan khas ditubuh siasat kes kematian pelajar IPT di Kuching

KUCHING-- Satu pasukan siasatan khas ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci kes kematian seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di pusat hiburan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, siasatan melibatkan semua aspek serta kemungkinan. 

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes kematian seorang pelajar wanita berusia 22 tahun di pusat hiburan di daerah Kuching.

"Pasukan siasatan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dari semua aspek serta kemungkinan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan polis akan merujuk kertas sisatan ke Jabatan Peguam Negara Sarawak untuk cadangan inkues sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menjejaskan siasatan kes," tegasnya.

Pada masa sama Ahsmon berkata, sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada pihak pegawai penyiasat kes ASP Joshua Masing di talian 017-9542048 atau pusat kawalan kuching ipd kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas dari Bukit Aman untuk menyiasat lebih terperinci kes kematian seorang pelajar wanita berusia 22 tahun di Kuching pada 15 Oktober lalu, dipercayai akibat penyalahgunaan dadah.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, ahli keluarga terkejut apabila mendapati polis begitu pantas mengklasifikasikan kematian itu sebagai "Mati Mengejut (SDR)".

"Menurut keluarga, ujian pantas dadah ke atas air kencing mangsa mengesan tiga dadah, termasuk Methamphetamine (biasa dipanggil "ais"), MDMA (biasa dipanggil "ekstasi") dan cotinine, 2 daripadanya, Methamphetamine dan MDMA adalah dadah terlarang di dalam negara kita.

"Ada bersama saya salinan laporan ujian air kencing tersebut dan saya percaya salinan laporan ujian air kencing itu juga telah dimajukan kepada pihak polis.

"Tambahan pula, demi kepentingan mencari kebenaran di sebalik kematian mangsa, oleh itu saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu. 

"Memandangkan pasukan penyiasat di Kuching telah menyimpulkannya secara ringkas sebagai "Laporan Kematian Mengejut", mungkin adalah lebih sesuai untuk Ibu Pejabat PDRM dari Bukit Aman menghantar satu lagi pasukan penyiasat ke Kuching untuk menjalankan siasatan yang lebih mendalam," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Parlimen pada Rabu.
Next Post Previous Post