Langgar Lari: Wanita Maut Motosikal dibonceng dilanggar 4WD

KUCHING-- Seorang pembonceng wanita maut manakala penunggang cedera selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam insiden langgar lari di Jambatan Batu Kawa di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian 11.45 malam itu mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Ashikin Benny, 23, beralamat di Kampung Hijrah, Simunjan.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal dibonceng mangsa bersama seorang lelaki, 22, dari MJC Batu Kawa hendak balik ke Kampung Sejijak Matang. 

"Semasa bergerak lurus di lorong sebelah kiri di atas jambatan Batu Kawa, Jalan Batu Kawa telah dilanggar dari arah belakang sebelah kanan oleh 4WD, nombor pendaftaran tidak pasti. 

"Setelah itu, 4WD telah melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa telah tercampak di atas jalan raya dan motosikal telah terseret oleh 4WD. 

Jelasnya, pembonceng terbabit telah disahkan maut di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak pada 12.35 tengah malam. 

"Manakala penunggang mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

"Cuaca masa kejadian adalah baik, kawasan jalan raya adalah lurus manakala kadar penglihatan adalah gelap berlampu," ujarnya. 

Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya polis kini giat mengesan kenderaan 4WD yang terlibat.

"Polis mohon saksi bebas yang dapat membantu siasatan dan menyemak kamera litar tetutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan identiti kenderaan terlibat," katanya.
Next Post Previous Post