Kes penipuan dalam talian di Mukah meningkat

MUKAH—Sebanyak 58 kes penipuan dalam talian direkodkan di Mukah sepanjang tahun ini melibatkan kerugian berjumlah RM942,722.01.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, statistik terkini menunjukan jenayah online scam ini semakin membimbangkan. 

“Secara amnya, kes-kes penipuan di Sarawak melibatkan kes-kes penipuan secara dalam talian iaitu media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram mahupun Tik Tok atau melalui panggilan telefon yang dilakukan oleh individu atau kumpulan untuk memperdaya mangsa bagi mendapatkan wang.

“Januari hingga September 2023 mencatatkan sejumlah 58 kes dengan kerugian sebanyak RM942,722.01 berbanding dengan tahun yang sama Januari hingga September 2022 di mana kes jenayah online scam mencatatkan sejumlah 52 kes dengan kerugian sebanyak RM571,795.30.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak enam kes bersamaan dengan 10.34 peratus. Begitu juga dengan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ada peningkatan sebanyak RM370,926,71 atau peningkatan sebanyak 39.34 peratus,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Town Hall Discussion Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah 2023 ‘Avoid Online Scam, Anda Bijak Anda Selamat’ di Kingwood Resort Mukah baru-baru ini. 

Jelasnya lagi, masih terdapat masyarakat yang tidak membuat laporan kepada pihak polis atas faktor-faktor tertentu.

“Kes jenayah online scam tertinggi dicatatkan di Daerah Mukah adalah online scam E-Dagang yang mencatatkan 18 kes dengan kerugian sebanyak RM170,002.

“Manakala kes online scam kedua terbanyak adalah online scam pelaburan sebanyak 13 kes dengan melibatkan kerugian sebanyak RM694,892.01. 

“Kes online scam pinjaman tidak wujud pula mencatatkan sebanyak 10 kes dengan kerugian senbanyak RM29,620, love scam juga mencatatkan adanya kes sebanyak tiga kes yang melibatkan kerugian sebanyak RM27,700,” ujarnya. 

Disoal mengapa mangsa-mangsa mudah terperangkap oleh ‘scammer’ ini, beliau berkata ada dua faktor iaitu “Tak Tahu” atau “Tahu tapi buat tak tahu”. 

“Pertamanya adalah mangsa ‘Tak Tahu’ akan adanya online scam ini di mana bila mangsa mendapat panggilan telefon daripada scammer akan cepat panik dan rasa takut dan mengikut sahaja arahan daripada scammer.

“Yang keduanya ialah ‘Tahu tapi buat tak tahu’ di mana mangsa yang telah dinasihatkan oleh rakan-rakan dan anak-anak mereka tetapi nasihat tersebut masuk telinga kanan keluar telinga kiri, enggan menerima nasihat. 

“Ketiga pula ‘Hebahan tak sampai’ di mana tidak berminat melihat kempen video pencegahan online,” tegasnya lagi. 

Program Town Hall Discussion Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah 2023 ini mengupas tajuk ‘Avoid Online Scam, Anda Bijak Anda Selamat’.
Pihak ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi dan ketua-ketua masyarakat dijemput bersama -sama dalam program ini untuk meningkat lagi kesedaran dalam mengelak dan menangani kes online scam ini agar tidak berulang lagi.

Sumber UKAS
Next Post Previous Post