Hanya parti semut, Abang Jo berterima kasih kepada PH dan PN tidak letak calon

KUALA LUMPUR— Hanya parti semut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) dan Pakatan Nasional (PN) kerana tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak itu berkata, keputusan untuk tidak bertanding ini membuktikan PH dan PN sudah memahami bahawa hanya anak Sarawak sendiri boleh menguruskan negeri ini.

“Hanya ‘parti semut’ sahaja yang meletakkan calon untuk melawan GPS, manakala PH dan PN tidak berbuat demikian.

“Saya tak kata kita kuat, tetapi ini menunjukkan mereka faham bahawa Sarawak hanya boleh diuruskan anak Sarawak,” katanya ketika Majlis Town Hall, Lan Brambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap masa depan Sarawak akan lebih cerah dengan adanya anak-anak Sarawak yang boleh mempertahankan sistem politik yang ada di negeri ini.

Dua ‘parti semut’ yang dimaksudkan oleh Abang Johari ialah Parti Bumi Kenyalang dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.

PRK DUN Jepak menyaksikan calon GPS Iskandar Turkee ditentang Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.
Next Post Previous Post