Eksekutif teknologi maklumat wanita jadi mangsa phone scam, rugi RM160,000

KUCHING-- Seorang eksekutif teknologi maklumat wanita rugi RM160,000 selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam' di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu pada Rabu daripada seorang wanita berusia awal 40-an.

"Pada 12 Oktober 2023, semasa mangsa berada di Kuching telah menerima
panggilan telefon (nombor tidak dikenali) dari individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai teknologi maklumat, mengatakan mangsa ada terlibat dengan kes penyebaran berita palsu mengenai COVID-19.

"Kemudian talian telah disambungkan ke 'Sarjan Yap' mendakwa dari Balai Polis Ipoh, Perak dan suspek memberitahu kononnya kad pengenalan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram dalam sistem bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek juga menyatakan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa dalam tempoh 24 jam dan kes mangsa akan dipantau oleh Jabatan Audit Negara. 

"Mangsa yang panik dan takut, bertempat di sebuah bank tempatan telah menuruti arahan daripada suspek untuk membuka satu akaun bank seperti diarahkan dan mendaftar perbankan dalam talian (online banking) menggunakan nombor telefon dan alamat emel yang diberikan oleh suspek.

"Mangsa seterusnya telah membuat empat kali transaksi pindahan wang sebanyak lebih kurang RM146,000 secara berperingkat ke dalam akaun
bank baru mangsa pada awal pertengahan Oktober 2023," jelasnya.

Menurutnya lagi, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah menyemak status wang simpanan dengan pihak bank dan terdapat pindahan wang dari akaun bank mangsa kepada akaun bank pihak ketiga sebanyak lebih kurang
RM160,000.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali. 

"Beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda tentang panggilan telefon yang diterima," ujarnya.
Next Post Previous Post