Tebingan Sungai Limbang terpanjang di Sarawak, rakyat Limbang teruja menanti projek mega ini siap.

Gambar Kredit El Capitan

LIMBANG -- Projek Tebingan Sungai Limbang dianggarkan bernilai RM120 juta jika siap sepenuhnya pada 2025,bakal menjadi projek tebingan sungai terpanjang di Sarawak sejauh 1.8 kilometer keseluruhananya.

Projek mega dibawah kerajaan negeri melalui pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mampu mengubah landskap pembangunan Limbang.

Projek itu merupakan satu kemudahan sosial untuk rakyat berekreasi dan beriadah selain menjadi satu lagi kawasan menarik untuk dikunjungi dalam memacu sektor pelancongan domestik di utara Sarawak.

Mohamad Abu Bakar

Penduduk Limbang Mohamad Abu Bakar berkata Tebingan Sungai Limbang merupakan projek mega untuk penduduk di utara Sarawak khususnya di daerah Limbang.

“Tebingan Sungai Limbang memberi imej baru kepada bandar Limbang, sekali gus menunjukkan berlakunya satu perubahan drastik dalam pembangunan fizikal keseluruhannya untuk Limbang.

“Tebingan Sungai Limbang menunjukkan satu lagi kemajuan dalam konteks pembangunan di Sarawak, kerana era pembangunan itu tidak hanya fokus kepada bandar besar, tetapi perlu merangkumi pembangunan di luar bandar dan bandar kecil,”katanya kepada Borneo Network hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Limbang berkata meskipun terpencil Limbang perlu menerima limpahan pembangunan setanding dengan bahagian lain.

Gambar Kredit El Capitan

“Bukan saja merangkumi Tebingan Sungai Limbang tetapi juga projek besar lain selain jambatan jalan raya dan projek penting lain.

“Kita menyambut baik projek Tebingan Sungai Limbang ini tetapi kerja pembinaannya perlu disegerakan kerana ianya sudah dinanti sejak sekian lama dan penduduk Limbang menunggu bilakan siap tebingan sungai ini,”ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain Mohamad amat berharap Limbang dapat disenaraikan sebagai destinasi di Sarawak untuk Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Gambar Kredit El Capitan

“ Agak terkilan kerana Limbang tidak dapat merasai saat manis bersama Tuanku dan Tuanku Permaisuri yang amat dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

“ Harapan kami penduduk Limbang agar diberi peluang untuk berjumpa dengan Tuanku dan Tuanku Permaisuri pada program lain untuk mengubati kesedihan kami tidak dapat bersama dalam Kembara Kenali Borneo kali ini,”katanya lagi.

Bagi penduduk Kampung Seberang Kedai Limbang Ros Ina menyifatkan Tebingan Sungai Limbang berjaya mengubah landskap bandar Limbang berbanding dulu.

Pemandangan Bandar Limbang

Perubahan ini katanya menjadikan bandar Limbang lebih menarik, meriah dan membangun selain potensinya mampu menjadi pintu masuk utama di utara Satawak.

Katanya lagi dengan pembinaan lebih banyak lot kedai ia memudahkan dan memberi peluang kepada peniaga berniaga dan meningkatkan sektor ekonmi yang suram sebelum ini.

“ Tebingan Sungai Limbang juga memberi manfaat terutama kepada penduduk di kawasan kampung Seberang Kedai yang menyediakan kemudahan jeti yang kini sedang dalam perlaksanaan,” katanya.

Gambar Kredit El Capitan

Bagaimanapun beliau mahu projek Tebingan Sungai Limbang yang ditunggu sejak beberapa tahun lepas juga dapat dipercepatkan.

“Sebagai penduduk Limbang kita amat teruja untuk melihat projek ini siap dan berharap projek ini dipercepatkan kerana ianya amat dinanti sudah lama,” katanya.

Gambar Kredit El Capitan

Sementara itu mengulas mengenai Kembara Kenali Borneo sebagai rakyat Limbang katanya menjadi harapan mereka agar rombongan Tuanku dan Tuanku Permaisuri dapat singgah ke Limbang.
Next Post Previous Post