Taman Tema Upin & Ipin bakal dibuka 2026

KUALA LUMPUR-- Setelah hampir dua dekad bersiaran di televisyen, impian menubuhkan Taman Tema Upin dan Ipin, siri animasi popular di Malaysia dan negara jiran akhirnya menjadi kenyataan.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, taman tema yang menelan kos kira-kira RM700 juta itu dijangka dibuka secara berperingkat pada 2026 sehingga 2027.

Katanya, beliau sudah bermesyuarat dengan Melaka Corporation (MCorp) untuk mencari tanah yang sesuai, katanya menurut BH Online.

Tambah Burhanuddin, MCorp turut menunjukkan tanah seluas 40 hektar di Alor Gajah, berdepan dengan A Famosa Resort Melaka.

"Tanah ini sudah dibersihkan dan diratakan. Memang cantik tanah ini, tetapi MCorp tidak mahu menjualnya, sebaliknya mahu ambil syer dalam projek ini.

"Jadi, kami berbincang tanggung hutang bersama, selain kami buat pinjaman bank atau keluarkan suku modal.

"Sekarang MCorp jadi rakan kongsi, jadi lebih memudahkan urusan. Saya suka jika taman tema ini diwujudkan di Melaka kerana sememangnya bandar pelancongan dan ramai pelancong Indonesia ke Melaka," katanya.

Burhanuddin berkata, projek itu dijangka bermula pada hujung tahun ini memandangkan tanah sudah ada.

"Dua hingga tiga bulan ini kami mahu mengusahakan modal dan menganggarkan perbelanjaan menelan RM700 juta.

"Taman tema ini seperti Disneyland. Kami sasarkan tiga tahun sudah boleh buka, tetapi buka secara berperingkat," katanya.

Burhanuddin berkata, taman tema itu sememangnya sudah lama dirancang, namun untuk merealisasikannya bukannya mudah kerana memerlukan perbelanjaan besar dan perancangan teliti.

Sejak 2018, Les' Copaque Production sudah ditawarkan beberapa bidang tanah termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Ipoh, Perak; Johor Bahru dan Negeri Sembilan.

Siri Upin Ipin diperkenalkan di saluran TV sejak 2007 turut difilemkan pada 2009 dan tahun ini, siri animasi si kembar juga ditonton menerusi pentas teater muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom!
Next Post Previous Post