Sasar premis 24 jam, Geng Dedek tumpas

KUCHING-- Kumpulan samun berkawan bersenjata dikenali dengan panggilan "Geng Dedek" yang menyasarkan premis kedai 24 jam berjaya ditumpaskan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis berjaya menangkap tiga lelaki yang dipercayai suspek yang terlibat dalam kes samun tersebut.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah berjaya menumpaskan kumpulan samun berkawan menggunakan senjata di premis 24 jam yang dikenali "Geng Dedek".

"Seramai tiga suspek lelaki tempatan berumur lingkungan 27 tahun sehingga 43 tahun telah ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam iaitu pada 15 September lalu," katanya pada sidang media di IPD Kuching hari ini.

Jelasnya pada 14 September lalu sekitar jam 11.30 malam satu kejadian samun berkawan telah berlaku di sebuah kedai 24 jam di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya.

"Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan yang sedang bekerja sebagai juruwang telah disamun oleh dua lelaki yang tidak dikenali menggunakan pisau pemotong daging," katanya.

Mengulas lanjut tangkapan itu, Mohd Azman berkata dua daripada tiga suspek masing-masing mempunyai 13 dan 15 rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. 

Selain tangkapan, beliau memberitahu polis turut berjaya merampas sebuah motosikal, sebilah pisau pemotong daging, satu topi keledar, seunit telefon bimbit, sehelai t/shirt, sehelai baju melayu serta pelbagai barang kemas untuk siasatan.

Tambahnya, kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Dengan tumpasnya Geng Dedek, katanya polis berjaya menyelesaikan enam kes iaitu empat kes samun, satu kes curi motosikal dan satu kes curi dalam bangunan di sekitar kawasan bandaraya Kuching dengan jumlah anggaran kerugian lebih kurang RM7,000.

"Modus operandi yang digunakan kumpulan ini ialah mengacukan pisau pemotong daging untuk menakutkan mangsa, memakai topi keledar dan pelitup muka bagi melindungi identiti. 

"Sasaran kumpulan ini adalah premis kedai yang beroperasi 24 jam," dedahnya.

Menurutnya lagi kesemua suspek direman bermula 16 September 2023 sehingga 21 September 2023.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Next Post Previous Post