Saferi Ali Peguam Besar Sarawak baharu, John Wayne timbalannya

KUCHING-- Datu Saferi Ali dilantik sebagai Peguam Besar Sarawak yang baharu bagi menggantikan Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, berkuat kuasa 7 September 2023.

Sementara itu, jawatan Timbalan Peguam Besar Sarawak pula akan disandang oleh Peguam Kanan Sarawak, Datu John Wayne Chamberlin Sirau.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis penyerahan tugas dan tanggungjawab itu disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di Bilik Mesyuarat Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abu Bakar dalam ucapan ringkasnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa, komitmen dan dedikasi Talat dalam menjalankan amanah sepanjang beliau berkhidmat sebagai Peguam Besar Sarawak disertai ucapan selamat menjalankan tugas kepada Saferi dan John.

Sementara itu, Talat dalam turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepada beliau selama perkhidmatannya dan berharap agar Saferi dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Hadir sama di majlis itu ialah Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik dan Pengarah-Pengarah Unit di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Next Post Previous Post