Pelancong asal Belanda cedera di Gua Lang Mulu

MIRI: Seorang pelancong wanita warganegara Netherland berusia 30 tahun mengalami kecederaan semasa menjalankan aktiviti meredah Gua Lang di Mulu petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa yang dikenali sebagai Dominique Martina Wihelmina berusia 30 tahun itu disahkan menggunakan kecederaan semasa menjalankan aktiviti "caving" di gua berkenaan sekitar jam 5 petang tadi.

"Sepasukan anggota BBP Marudi dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar serta menyelamatkan mangsa," ujarnya.

Pemandu pelancong yang merupakan lelaki warga tempatan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, maklumat awal yang diperoleh dari pemandu pelancong berkenaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terhantuk di dinding semasa melakukan aktiviti caving di Gua Lang Mulu sekitar jam 4 petang.

Pemandu pelancong ujarnya cuba untuk membuat panggilan kecemasan menggunakan radio milik Taman Negara Mulu ke HQ Park, namun gagal kerana tiada liputan.

Pemandu pelancong kemudiannya bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa seterusnya membawa mangsa keluar ke HQ Park dengan berjalan kaki dan mohon bantuan dari Pangkalan Operasi MOCSAR untuk tindakan seterusnya.

Mangsa kemudiannya telah diberikan rawatan awal dan dibawa oleh pemandu pelancong ke Pangkalan Operasi MOCSAR dengan selamat.

Pasukan PBB MOCSAR hanya membantu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Mulu menggunakan kenderaan Toyota Hilux milik Taman Negara Mulu untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Mangsa yang berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan kemudiannya dihantar ke tempat penginapan beliau di Mulu Marriott Resort & SPA.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post