Mati dibaham buaya ketika tangkap ketam

Lahad Datu— Hajat seorang lelaki menangkap ketam berakhir tragedi apabila dia maut dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Tinagian, Tanjung Labian, pagi tadi.

Mayat lelaki warga asing berusia 23 tahun itu ditemukan pada jam 7.20 pagi dengan kesan gigitan dan calar di tepi pantai berhampiran pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kampung Tanjung Batu, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa adalah pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit dibaham buaya ketika menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut berkenaan.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama tiga rakannya sedang mencari ketam di lokasi berkenaan.

"Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan berkenaan.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai tidak lama selepas itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, terdapat kesan calar di bahagian dada dan belakang leher serta punggung mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.

Gambar ihsan Polis
Next Post Previous Post