Kaedah pra-kelayakan percepat perlaksanaan Lebuhraya Pan Borneo - Fadillah

TPM Fadillah semasa menghadiri Program Outreach Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional serta Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini. Gambar FB

KUCHING— Proses perolehan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) perlu menggunakan kaedah tender pra-kelayakan untuk melantik kontraktor berbanding tender terbuka sekarang yang mengambil masa, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah yang dicadangkan (tender pra kelayakan) itu berbeza dengan amalan biasa kerana tender dibuka dengan menetapkan kriteria tertentu yang perlu dipenuhi kontraktor.

“Kaedah ini dapat menjimatkan masa untuk melantik kontraktor berbanding tender terbuka yang terpaksa mengambil masa lama untuk diputuskan terutama apabila banyak tender yang masuk.

“Melalui kaedah ini, tender akan dibuka dengan kriteria tertentu dengan sesiapa yang berminat boleh masuk, kemudian akan dikenal pasti mereka yang layak dan dalam kalangan yang layak itu nanti barulah akan dipanggil memasuki tender sebenar,” katanya dipetik Buletin Tv3 hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan untuk diteliti.

Tambahnya, apabila diluluskan ia dapat mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah yang dipertanggungjawab kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau diberi diberi tanggungjawab membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyelaras dan mengenal pasti permasalahan pelaksanaan projek antara kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

“Masalah dengan tender terbuka, ramai yang masuk tetapi akhirnya kontraktor tak buat kerja yang diharapkan sekali gus menjejaskan projek,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata fasa pertama LPB di Sarawak sudah hampir 98 peratus siap melibatkan 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri.

Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah melihat sendiri dan berpuas hati melihat perkembangan projek.

Selain itu katanya, projek Lebuh Raya Trans Borneo yang menghubungkan Limbang dan Lawas melalui Brunei sebelum memasuki Sabah, proses tender secara terbuka sedang dilakukan oleh KKR.

“Bagi projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR – jalan tidak melalui Brunei) pula, ia sudah di peringkat makmal dan apabila selesai nanti proses tender akan dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Outreach Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional serta Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Mengenai program itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, karnival ini merupakan program rintis bantuan kepada pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional sebanyak RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan melalui e-wallet.

“Melalui data semasa, lebih 74 peratus atau 70,000 pelajar daripada 94,000 pelajar tingkatan enam adalah daripada isi rumah B40. 

“Ramai di antara mereka merupakan pelajar yang baik prestasi pendidikan namun disebabkan kesukaran serta pelbagai faktor maka mereka memilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Tingkatan enam.

“Maka, kerajaan ingin membantu bagi memastikan mereka terus cemerlang di dalam pelajaran. Kejayaan yang diperolehi, akhirnya akan diterjemah dengan membawa keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Next Post Previous Post