Dua wanita, seorang lelaki Indonesia cuba masuk guna jalan tikus gagal, diusir pulang

KUCHING-- Tiga individu termasuk dua wanita warganegara Indonesia yang cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di Lubok Antu berjaya dipatahkan hari ini.

Jurucakap  Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kejayaan itu menerusi rondaan sempena Op Awas/Keris Parang yang dijalankan sekitar jam 1 petang tadi di sektor Lubok Antu iaitu 100 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

"Anggota yang sedang melaksanakan rondaan telah menahan dua
motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dan dua wanita yang mencurigakan dari arahan sempadan Indonesia ke Malaysia.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 25 tahun dan dua wanita berusia 20 dan 21 tahun itu cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas barangan yang dibawa termasuk dua motosikal, telefon bimbit dan barangan peribadi yang dianggarkan berjumlah RM13,000 itu mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai.

Jelasnya lagi, kesemua PATI warga Indonesia itu telah dibawa ke sempadan Pos Pemerhati Nanga Badau Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI-AD) untuk dibuat pengusiran pulang ke Indonesia.

Sehubungan itu, tegasnya, Tentera Darat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku.
Next Post Previous Post