Dua remaja samun, cedera wanita diberkas

KUCHING— Polis berjaya menahan dua remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan mencederakan seorang wanita dalam tempoh 24 jam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Muzaffar Shah dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga tempatan berumur 19 tahun bertempat di lokasi kejadian. 

“Turut dirampas dari salah seorang suspek ialah sehelai baju berwarna hitam, satu bentuk cincin, dua utas rantai emas dan seunit beg tangan jenama Coach.

“Kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Suspek pertama direman selama sehingga 9 September manakala suspek kedua sehingga 10 September untuk siasatan lanjut.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merbin menambah, semakan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing adalah negatif.

Dalam kejadian pada 2 September, sekitar jam 3.53 pagi di sebuah tandas di pusat beli-belah di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Adruce, mangsa seorang wanita berusia 24 tahun telah ditemui oleh teman lelakinya dalam keadaan cedera.

Manakala, barang kemas serta telefon bimbit milik mangsa telah dilarikan oleh suspek.

Kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun mendatangkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post