Suspek rempuh, langgar kenderaan polis kini diburu

KUCHING-- Polis kini giat memburu suspek yang terlibat dalam kes cubaan membunuh anggota polis yang sedang menjalankan tugas Op Lejang Khas di Jalan Bau-Krokong pada Selasa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata yang mengesahkan kes itu berkata, dalam kejadian 6.50 pagi Selasa itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sedang menjalankan tugas Op Lejang Khas di Jalan Bau-Krokong telah mengekori sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. 

"Apabila hendak menahan kenderaan yang dipandu suspek, kenderaan tersebut telah merempuh kenderaan anggota polis.

"Berikutan itu, anggota polis yang menjalankan tugas telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan tersebut bagi mempertahankan diri namun kenderaan tersebut telah berjaya meloloskan diri menuju ke arah Krokong, Bau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mancha, hasil siasatan awal, kenderaan jenis Toyota Land Cruiser warna perak itu dilaporkan hilang di daerah Kuching, telah ditinggalkan di sebuah jalan ladang kelapa sawit Ledan Gumbang.

"Suspek dipercayai telah melarikan diri. 

"Pihak polis masih berusaha mengesan suspek yang telah melarikan diri," tegasnya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes diatas tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Chew Cher Shin di talian 017-9682819.

"Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang tidak berasas," ujarnya.
Next Post Previous Post