Malaysia bebas senarai negara berisiko tinggi penebangan hutan EU

Fadillah melakukan acara simbolik perasmian Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMtec) 2023 di Miri hari ini.

MIRI— Malaysia menerima maklum balas positif daripada Kesatuan Eropah (EU) semasa mesyuarat permulaan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Ad Hoc mengenai Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) di Jakarta Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berpendapat, Malaysia mungkin tidak dianggap sebagai negara berisiko tinggi dari segi penebangan hutan dalam industri minyak sawitnya.

Bagaimanapun, Menteri Perladangan dan Komoditi merasakan adalah tidak adil untuk EU menetapkan sebuah negara sebagai penanda aras pematuhan EUDR.

“Tanda aras pematuhan harus berdasarkan industri itu sendiri, bukan sebuah negara. Dengan adanya cara itu ia akan menjadi lebih baik dari segi industri,” katanya ketika merasmikan Pameran & Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (Pomtec) 2023 di sini hari ini.

Fadillah menegaskan Malaysia akan terus membincangkan perkara itu dalam mesyuarat JTF akan datang yang turut dianggotai oleh EU dan Indonesia.

Beliau berkongsi perkembangan positif berkaitan pengiktirafan EU terhadap Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai penanda aras kepada usaha negara dalam memastikan amalan bertanggungjawab dalam industri.

“Dengan menyelaraskan skim pensijilan sejajar dengan keperluan EUDR, kita dapat memastikan tanggungjawab amalan dalam industri sambil memastikan kedudukan di pasaran Eropah selain menunjukkan komitmen Malaysia yang telah lama wujud dalam menghasilkan minyak sawit mampan di peringkat global,” kata Fadillah.

Beliau menggesa operasi pengilangan minyak sawit di seluruh negara untuk menerima amalan mampan dan mencuba kaedah dan strategi inovatif untuk menambah nilai kepada rantaian pengeluaran minyak sawit.

Katanya, ini penting untuk memaksimumkan potensi industri minyak sawit untuk meningkatkan daya saing keseluruhan industri minyak sawit.

Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMtec) 2023 bertemakan "Ke Arah Operasi Perniagaan Mampan dan Nilai Tambah," dianjurkan oleh Persatuan Pemilik Ladang Sawit Sarawak (SOPPOA).
Next Post Previous Post