Pesawat terhempas motosikal dan kereta, 10 terkorban termasuk EXCO Kerajaan Pahang

SHAH ALAM-- Nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang telah terhempas dekat Elmina, di sini dipercayai mengorbankan 10 mangsa termasuk seorang EXCO Kerajaan Pahang, hari ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 2.48 petang itu melibatkan lapan mangsa dari pesawat berkenaan manakala dua lagi merupakan pemandu kereta dan penunggang motosikal. 

Jelasnya, pesawat yang terbang dari Langkawi itu sepatutnya mendarat di Terminal Skypark Subang, 2.50 petang.

“Namun dua minit sebelum mendarat, pesawat berkenaan telah terhempas ke lokasi kejadian dan menghempas sebuah kereta dan motosikal.

“Kita sedang kenal pasti kesemua mangsa ketika ini,” katanya dalam sidamg akhbar di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Di lokasi kejadian, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran.

Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV telah terhempas dekat Elmina. 

"Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang

"Hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2.48 petang. 

"Pada pukul 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.

Tambahnya, keseluruhan seramai enam penumpang dan dua kru berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini. 

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016," ujarnya.
Next Post Previous Post