Lagi kemalangan maut ketika perayaan Hantu

KOTA SAMARAHAN-- Seorang pemuda berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia selepas parah akibat terlibat kemalangan di Batu 8, Jalan Kuching-Serian.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Brodie Brangka berkata, kemalangan itu berlaku melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal bergerak dari tempat kerja di Kuching hendak pulang ke rumahnya di Serian (Taman Duras, Siburan). 

"Penunggang motosikal yang menggunakan lorong kanan iaitu susur ke simpang kanan semasa bergerak lurus dan hendak memotong kenderaan di hadapan telah bergesel dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun yang bergerak dari arah Kuching dan hendak membelok ke simpang kanan menuju ke arah Pasaraya Unaco," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Mengenai Perayaan Hantu, ia merupakan perayaan Cina yang disambut oleh orang Cina di seluruh dunia. 

Perayaan ini diadakan jatuh pada hari ke-13 malam ke-14 bulan ke-7 kalendar Cina yang turut bergelar Hari Hantu (bulan ketujuh secara amnya dianggap sebagai Bulan Hantu), iaitu apabila hantu-hantu dan roh-roh termasuklah para leluhur yang lama meninggal dipercayai keluar dari alam ghaib. 

Ketika perayaan Qingming ahli keluarga yang masih hidup memberi penghormatan kepada leluhur mereka manakala pada Hari Hantu yang meninggal menziarahi yang hidup. 

Pada hari ke-13 ketiga-tiga alam Syurga, Neraka dan fana dibuka dan pada masa ini penganut agama Tao dan Buddha melaksanakan upacara amal untuk mengubah dan membebaskan penderitaan orang yang meninggal.

Kes kemalangan maut baru-baru ini dilihat kerap berlaku tatkala masyarakat Cina Tionghua menyambut Perayaan Hantu yang bermula sejak semalam.

Malam tadi, seorang pelajar berusia 13 tahun maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Tematu, Padawan.

Malah, berita di atas berlaku sebelumnya, sekitar jam 5.30 petang hari yang sama.

Seorang maut, dua cedera, kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan kendiri 

Dalam laporan berasingan, seorang lelaki maut manakala dua mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Setunggang Ulu pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota BBP Lundu bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung kemalangan pada jam 11.22 pagi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah kereta model Perodua Myvi yang melibatkan tiga orang mangsa," ujarnya.

Pasukan perubatan KKM mengesahkan seorang mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa telah dihantar oleh pihak KKM dan EMRS ke hospital bagi diberikan rawatan lanjut.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post