Pemilik akaun Facebook Arun Dorasamy disiasat, buat kenyataan jelik terhadap PM Anwar

Gambar Credit New Straits Times

KUCHING-- Padah buat kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemilik dan pengendali Facebook Arun Dorasamy kini disiasat polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dato Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan terhadap pemilik Arun Dorasamy berhubung kenyataan jeliknya terhadap Perdana Menteri melalui hantaran Facebook miliknya pada 18 Ogos lalu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Arumugam Dorasamy berhubung hantaran video yang mengandungi kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia ke-10.

"Pada 21 Ogos 2023,  pemilik dan pengendali akaun Facebook Arun Dorasamy tersebut telah dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman bagi rakaman percakapan dan membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas Mohd Shuhaily kes masih di peringkat siasatan.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," tegasnnya.

tamat
Next Post Previous Post