Parit dipenuhi sampah, penduduk RPR Stampin gesa MBKS ambil tindakan segera

KUCHING-- Penduduk di Lorong 2B2F di Skim Penempatan Semula Stampin kesal longkang di kawasan berkenaan tidak diselenggara dengan baik oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Berkongsi masalah yang dihadapi penduduk di situ, Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, keadaan semasa longkang di lorong berkenaan dipenuhi sampah sarap.

"Ini membuktikan kegagalan MBKS dalam menyelenggara longkang di kawasan pentadbiran majlis berkenaan.

"Keadaan ini memberi kesan buruk dan menimbulkan banyak persoalan tentang keberkesanan kontraktor MBKS dalam melaksanakan tugas mereka, menjadikan MBKS haru bertanggungjawab terhadap keadaan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Michael Kong berkata, masalah itu sudah lama dihadapi penduduk di lorong tersebut.

"Timbunan sampah menimbulkan ancaman besar kepada kesejahteraan masyarakat kita. 

"Keadaan longkang yang bersepah menjadi sarang pembiakan haiwan perosak dan nyamuk, yang mendatangkan risiko kepada kesihatan awam.

"Memburukkan lagi masalah itu, longkang yang bersepah boleh menyebabkan banjir kilat yang kerap melanda Lorong 2 dalam Skim Penempatan Semula Stampin," tegasnya lagi.

Justeru, beliau memberitahu, adalah penting bagi MBKS menyedari bahawa tanggungjawab untuk menangani isu kritikal ini terletak di bahu mereka.

Katanya, sebagai pihak berkuasa tempatan, MBKS memegang tanggungjawab penting untuk memastikan langkah pengurusan sisa yang betul dilaksanakan dan longkang dibersihkan dan diselenggara secara konsisten bagi mengelak ia tersumbat dan banjir semasa keadaan cuaca buruk.

"Sehubungan itu, saya menyeru MBKS untuk mengambil tindakan segera dan membetulkan keadaan. 

"Adalah penting bagi MBKS untuk mengerahkan kontraktornya dengan pantas untuk membersihkan longkang yang bersepah dan melaksanakan langkah berkesan untuk mencegah longgokkan sampah pada masa hadapan. 

"Tambahan pula, MBKS perlu menjalankan penyelenggaraan secara berkala dan menyeluruh bagi keseluruhan sistem perparitan bagi mengurangkan isu banjir kilat yang berterusan," ujarnya.
Next Post Previous Post