Lelaki tumbuk tukang gunting kerana tak puas hati potongan rambut baharu didenda RM1,500

 
SIBU— Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas seorang pemuda yang mengaku bersalah mencederakan seorang tukang gunting kerana tidak berpuas hati dengan potongan rambut baharu.

Majistret Flavian Edward Henry menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas menerima pengakuan tertuduh, Siaw Chii Tong.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menumbuk muka dan dada mangsa selepas tidak puas hati dengan potongan rambut baharunya di sebuah salon di Lorong Indah Timur 3, sekitar jam 3.06 petang pada 5 Ogos lalu.

Tindakan tertuduh telah dirakamkan oleh kamera litar tertutup serta dilihat oleh seorang saksi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Tertuduh membayar denda itu.
Next Post Previous Post