Laporan polis palsu di IPD Kuching meningkat 100 peratus

KUCHING— Polis Kuching mendapati terdapat peningkatan dari segi jumlah laporan polis palsu yang diterima berkaitan mangsa jenayah, dengan lapan laporan palsu diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, sebanyak empat laporan diterima bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 100 peratus.

Ahsmon menambah, siasatan mendapati perbuatan laporan polis palsu ini dibuat bagi mengaburi masalah kewangan dan hutang yang dialami oleh individu yang terlibat.

“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan telah dibuat di mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM2000 atau penjara tidak
lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 9 hingga 21 Ogos, polis IPD Kuching telah menerima tiga laporan yang dibuat individu tempatan berusia 31 hingga 34 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kes samun, curi kenderaan dan kecurian wang tunai di dalam kenderaan.

“Siasatan lanjut mendapati laporan yang dibuat oleh ketiga- tiga individu tersebut adalah palsu semata-mata,” katanya.

“Perbuatan seperti ini adalah salah dan turut memberikan gambaran negatif palsu berlakunya kejadian jenayah di daerah Kuching, pihak polis tegas akan mengambil tindakan terhadap individu yang berbuat demikian,” tegasnya.
Next Post Previous Post