Kelindan maut, pemandu cedera, lori kurier dan penghantaran rempuh lori sarat muatan baja

SARIKEI: Seorang lelaki yang merupakan kelindan sebuah lori sebuah syarikat kurier dan penghantaran maut manakala pemandunya mengalami kecederaan selepas lori yang dinaiki keduanya merempuh bahagian belakang sebuah lori sarat muatan baja di kilometer 30 Jalan Bukit Brayang-Sebangko di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa maut dikenali sebagai Muhd Ekxmal Hassim Abdul Rahman berusia 30 tahun.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian," ujarnya.

Pemandu lori terbabit dilaporkan mengalami kecederaan di kepala manakala dua lagi mangsa yang berada dalam lori sarat muatan baja tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, sepasukan anggota BBP Sarikei bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 5.49 pagi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sua buah lori yang mana lori kurier dan penghantaran yang bergerak dari arah Kuching melanggar bahagian belakang lori yang sarat dengan muatan baja.

Pasukan bomba ujarnya mengambil masa hampir setengah jam bagi mengeluarkan mangsa tersepit yang mana berjaya dikeluarkan pada jam 6.35 pagi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan ke KKM untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital bagi diberikan rawatan lanjut.

Gambar PGO Sarawak dan BBP Sarikei
Next Post Previous Post