Dua lelaki ditangkap bantu siasatan kes bunuh di Jalan Tunku Abdul Rahman

SIBU-- Polis memberkas dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan di sebuah rumah kebun di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 45 tahun ditahan pada malam Selasa bagi membantu siasatan kes ini.

"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Sibu pagi semalam untuk permohonan reman," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes tersebut.

Tambah Zulkipli, Mahkamah Sibu telah membenarkan kedua-dua suspek direman sehingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang motif pembunuhan itu berikutan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pada awal pagi Selasa lalu, mangsa dikenali sebagai Pang Neng Hua, 46, ditembak mati di pintu pagar kebun keluarganya di Batu 9, Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini.

Menurutnya lagi, bedah siasat ke atas mayat mangsa yang telah dijalankan di Hospital Sibu pada 2 Ogos bermula jam 2 petang dan selesai pada 7.30 malam.

Dedahnya, punca kematian si mati selepas dibedah siasat adalah kecederaan parah akibat luka tembakan.
Next Post Previous Post