Tuntutan berkaitan MA63 yang belum selesai terus dipantau, Fadillah
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah berkata perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal ini. Gambar Facebook Fadillah Yusof |
PUTRAJAYA—Kuasa autonomi kesihatan dan pendidikan serta cadangan penukaran status pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri oleh kerajaan Sarawak, antara perkara utama Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2023.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat berkenaan yang dipengerusikannya di Bangunan Perdana Putra turut membincangkan status tindakan yang telah dilaksanakan oleh beberapa Kementerian yang berkaitan antaranya seperti Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan.
“Selain itu status cadangan Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung keanggotaan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN, penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak dan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
“Mesyuarat teknikal MTPMA63 ini amat penting bagi membolehkan Kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara atau tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook petang ini.
Fadillah berkata, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal ini.
Di samping itu, jawatankuasa kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian atau agensi berkaitan akan memastikan perkara dan tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali ; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong ; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Sarawak diwakili oleh ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan dan Dato’ Sri Professor Dr. Sim Kui Hian ; selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki ; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.
Manakala Sabah pula diwakili kedua-dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam ; selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah binti Mohd Yusof.
Selain itu, sekiranya terdapat isu-isu baharu di bawah MA63, ia boleh dibawa ke MTPMA63 oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk dibincang dan diteliti sebelum tindakan lanjut dapat dilaksanakan.