Tiga maut, seorang parah, 4WD dinaiki rempuh pokok

SIBU: Tiga maut manakala seorang mengalami kecederaan parah selepas pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok tepi jalan di Jalan Deshon pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, dalam kejadian sekitar jam 11.34 pagi itu, 4WD terbabit terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang pokok.

Menurutnya, sepasukan anggota BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.

"Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati terdapat empat mangsa masih tersepit dalam 4WD yang dinaiki mereka itu," ujarnya. 

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan khas rescue tools dan stretcher yang mana tiga mangsa yang terdiri dua lelaki dan seorang wanita yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM yang turut berada di lokasi.

Seorang lagi mangsa katanya yang merupakan seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post