SPRM Tahan Reman Seorang Lagi Suspek Bantu Siasatan Kes Ree Di Kedah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 50an ditahan semalam kira-kira jam 8 malam di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi bin Latif selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini. 

Setakat ini, secara keseluruhannya seramai empat suspek telah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI), pengarah syarikat dan pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post