Seorang penunggang termasuk dua pembonceng motosikal maut kemalangan
KAPIT: Seorang penunggang termasuk dua pembonceng sebuah motosikal maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Embuau Song pada jam 5.38 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, tiga mangsa yang kesemuanya lelaki disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian.
Ketiga-tiga mangsa ujarnya dikenali sebagai Joshua Richard 32, Jimbau Ujam 57 dan Sempun Lau 51.
Katanya, sampai di lokasi kejadian, pasukan BBP Song mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal.
"Maklumat awal yang diperoleh dari saksi mengatakan motosikal tersebut bertembung dengan pacuan empat roda sebelum terbabas ke arah bertentangan," jelas beliau.
Mujurlah katanya mangsa yang turut terhumban ke atas jalan tidak dilanggar oleh sebuah lagi kenderaan yang turut lalu di laluan terbabit.
Kemalangan yang berlaku katanya telah menyebabkan tiga mangsa meninggal di lokasi kejadian.
Pemandu pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat, pasukan bomba bersama jentera bertolak balik semula ke balai.
Gambar PGO Sarawak