Sambutan besar-besaran 60 Tahun Sarawak Merdeka

KUCHING— Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang disambut secara besar-besaran pada 22 Julai ini amat bermakna bagi merenungi kembali pencapaian dan perjalanan yang dtempuhi negeri ini, sebelum dan selepas kemerdekaan pada 1963 hingga sekarang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehubungan itu jumlah peruntukan bagi membiayai sambutan bermula 28 Mei hingga 19 Ogos ini tidak seharusnya menjadi persoalan.

“Peruntukan tidak penting, apa yang penting ialah 60 tahun kemerdekaan.

“Dalam tempoh yang panjang ini, kita berupaya menyatukan pelbagai kaum dan tiada permusuhan di kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

“Saya rasa adil untuk kita meraikan sambutan 60 Tahun Merdeka secara besar-besaran. Semua rakyat Sarawak patut meraikan sambutan ini,” katanya semasa sidang media sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di pejabatnya pada Khamis (6 Julai). 

Abdul Karim menambah semua perbelanjaan oleh kerajaan negeri telah diaudit dan tertakluk kepada keperluan kewangan.

Beliau yang juga bertanggungjawab bagi sambutan itu berkata, acara kemuncak Perhimpunan dan Perarakan di Padang Merdeka Kuching pada 22 Julai.

“Seramai 3,900 peserta daripada 60 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan tersebut.

Perarakan ini diteruskan dengan penyampaian medal kepada individu yang telah berbakti kepada Sarawak, konsert rakyat dan pertunjukan bunga api.

Abdul Karim menunjukkan Buku Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, Sarawak Maju Makmur pada sidang media di Kuching, hari ini.

Acara diteruskan dengan perarakan kapal berhias di Sungai Sarawak pada 29 Julai, perarakan di Kuching pada 5 Ogos, Sibu (12 Ogos) diikuti Miri (19 Ogos).

“Perarakan ini disertai belia, pengusaha seni tempatan dan organisasi komuniti selain peserta dari Singapura,” katanya.

Selain itu Buku 60 Tahun Sarawak Merdeka, Sarawak Maju Makmur dilancarkan 22 Julai ini.

Sambutan dimulakan dengan Konvoi Kembara Sambutan 60 Tahun Merdeka selama 56 hari melibatkan 12 bahagian seluruh negeri - bermula 28 Mei dan berakhir 22 Julai 2023 di Padang Merdeka di Kuching.
Next Post Previous Post