Pukul anjing sampai mati, 3 lelaki direman
BALIK PULAU— Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyeksa seekor anjing menggunakan kayu sehingga mati di
di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, yang videonya tular semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 53 tahun itu ditahan antara jam 11.45 malam tadi dan 1 pagi ini di sekitar Batu Maung hasil risikan dan intipan.
“Kesemua suspek yang masing-masing bekerja sebagai ejen kargo, nelayan dan pemandu bas telah direman sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan.
“Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing juga didapati bebas dari kandungan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam tular di media sosial satu artikel bertajuk tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati" yang mengandungi video mempamerkan adegan dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
Menurut Khaw, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 8.38 malam Jumaat lepas.
Media melaporkan, saksi kejadian turut bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghantar rakaman itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya sebelum ditularkan melalui akaun Twitter.
Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan serta disiasat juga di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah. pihak polis juga ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkenaan, “katanya.